POLIGAMI??MAMPUKAH ANDA??
Mama aiman
April 20, 2017
5 Comments
Hukum asal poligami yang dipegang oleh Jumhur Ulama’ adalah harus. Menurut Imam As- Syafi’e sebagaimana dalam kitab Al Fiqhul Manhaji karangan Dr Mustafa Khin, Mustafa Bugho dan Dr Ali Syarbanji menerangkan bahawa hukum asal poligami adalah harus tetapi walau bagaimanapun hukum tersebut boleh berubah mengikut situasi samada sunat, makruh, ataupun haram.
Nas al-Quran secara jelas menyatakan:
وَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُوا فِي الْيَتَامَى فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ
“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka, maka berkahwinlah (dengan) sesiapa yang baik dari perempuan-perempuan yang (lain) dua, tiga atau empat”. ( Surah an-Nisa’ :3)
Hukum berpoligami
Makruh
Berpoligami apabila ia dilakukan hanya sekadar untuk berseronok- seronok sedangkan suami sendiri ragu akan kemampuan dirinya untuk berlaku adil terhadap isteri- isterinya daripada sudut nafkah zahir dan batin. Ini kerana poligami itu bukan kerana keperluan dan boleh jadi kesan daripada perkahwinan itu akan memberikan kemudharatan kepada isteri-isterinya disebabkan kerana tidak mampu berlaku adil terhadap mereka.Rasulullah s.aw pernah bersabda:
دع ما يريبك إلى ما لا يريبك “
“Tinggalkanlah perkara yang meragukan kamu kepada perkara yang tidak meragukan kamu.” (Hadis riwayat Tirmizi )
Sunat
Hukumnya apabila suami memerlukan isteri yang lain misalnya bagi mendapatkan zuriat kerana isterinya yang pertama mandul atau sakit atau suami mempunyai keinginan yang amat kuat sehingga isteri seorang tidak mampu untuk melayaninya. Suami juga berkeyakinan, mampu berlaku adil terhadap isteri- isterinya zahir dan batin, maka ketika ini tiada halangan baginya untuk berpoligami. Ini kerana, ia mempunyai kebaikan serta maslahat syarak. Ramai kalangan para sahabat Rasulullah s.a.w berkahwin lebih dari satu.
Haram
Jika seseorang lelaki ingin berpoligami merasa zhan atau yakin dia tidak mampu berlaku adil terhadap isteri-isterinya, boleh jadi kerana kemiskinan atau kerana kelemahanya atau dia tidak yakin dirinya dapat mengawal kecenderungan dan sifat prejudisnya, hukum poligami pada ketika ini ialah haram kerana ia akan memberi kemudaratan kepada orang lain.
Sabda Rasulullah s.a.w : لا ضرر و لا ضرار
“ Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh melakukan kemudaratan.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah )
فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ذَلِكَ أَدْنَى أَلَّا تَعُولُوا “
“Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil ( di antara isteri-isteri kamu ) maka ( berkahwinlah dengan ) seorang sahaja, atau ( pakailah ) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki.Yang demikian itu adalah lebih dekat ( untuk mencegah ) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.” (Surah an-Nisa’: 3.)
Apabila si suami sendiri berasa yakin bahawa dirinya tidak akan mampu berlaku adil terhadap isteri- isterinya jika dia memutuskan untuk berpoligami. Meskipun akad nikahnya nanti adalah sah di sisi syara’, akan tetapi suami tetap menanggung dosa kerana memberi kemudaratan kepada orang lain.
Sebab-sebab diharuskan poligami
Setiap ayat al-Quran yang menetapkan syariat tidak hanya terikat dengan suatu hukum atau peristiwa sahaja. Akan tetapi ia mempunyai skop yang lebih luas dan mengandungi pelbagai hikmah dan rahsia-rahsia yang hanya dapat dijelaskan melalui penjelasan sunnah Rasulullah s.a.w. Begitu juga dengan poligami yang terdapat padanya beberapa faktor yang mengharuskannya berdasarkan keterangan dari hadith dan ahli-ahli tafsir yang telah menerangkan secara terperinci sebab-sebab diharuskan poligami. Di sini, penulis akan menerangkan secara ringkas tentang sebab-sebab diharuskan poligami berdasarkan kajian penulis.
Diantara sebab-sebab diharuskan poligami ialah :
Mandul
Isteri yang tidak melahirkan anak merupakan satu fonomena terhadap lelaki yang ingin mendapatkan zuriat ( anak ) yang akan membahagiakannya di dunia dan di akhirat. Oleh sebab itu, maka tiada pilihan buat lelaki selain dua perkara iaitu sama ada berkahwin dengan isteri kedua yang akan melahirkan anak-anak atau bercerai. Tidak dinafikan bahawa berpoligami adalah lebih utama dan lebih mulia dari perpisahan. Maka, semestinya bagi isteri tidak menghalang cita-cita dan keinginan suaminya untuk menambahkan zuriat dengan isteri kedua. Hal ini lebih mulia dan disukai oleh Allah s.w.t daripada terjerumus ke dalam lembah kehinaan dari hubungan zina yang terkutuk.
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat ( yang membawa kerosakan ).” (Surah al-Isra’ : 32)
Adakalanya isteri ditimpa penyakit kronik yang tidak mungkin untuk menjalani kehidupan rumah tangga. Oleh yang demikian, harus bagi suami untuk melakukan poligami bersama isteri kedua kerana syariat membenarkan. Hal ini lebih baik dan mulia daripada suami terjebak dengan maksiat. Oleh itu, suami terpaksa mengahwini wanita lain untuk mencegah dirinya dari perbuatan maksiat.
Dalam hal ini Rasulullah SAW sendiri berdoa seperti yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah, maksudnya: “Daripada ‘Aisyah bahawasanya Nabi SAW membahagikan antara isteri-isterinya maka dia boleh mengadili dengan baik. Namun dalam soal kasih sayang dia berdoa:
Isteri sukar dididik.
Terdapat juga wanita yang sukar untuk dibentuk dan dididik sikapnya supaya menjadi lebih baik dan positif. Sikapnya yang sering menimbulkan kemarahan suami dan sukar untuk dibentuk tidak mampu diubah walaupun berbagai usaha telah dilaksanakan. Isteri yang taat kepada suami merupakan permata yang sangat bernilai. Perasaan kasih sayang diantara kedua belah pihak dapat membentuk kehidupan rumah tangga yang harmoni dan romantik.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَحِلُّ لَكُمْ أَنْ تَرِثُوا النِّسَاءَ كَرْهًا وَلَا تَعْضُلُوهُنَّ لِتَذْهَبُوا بِبَعْضِ مَا آتَيْتُمُوهُنَّ إِلَّا أَنْ يَأْتِينَ بِفَاحِشَةٍ مُبَيِّنَةٍ وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ فَإِنْ كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا “
Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka ( dengan menahan dan menyusahkan mereka ) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali ( apabila ) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaulah kamu dengan mereka ( isteri-isteri kamu itu ) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu ( merasai ) benci kepada mereka ( disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya ), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak ( untuk kamu ).” (Surah an-Nisa’ : 19)
Suami sentiasa bermusafir.
Kadangkala suami perlu ke luar daerah atau ke luar negeri kerana urusan pekerjaan dan tidak dapat membawa isterinya setiap kali bermusafir. Dorongan nafsu lelaki tidak mampu bersabar dalam perantauannya tanpa isteri di sisi jika mengambil masa yang lama. Untuk menjaga dan menyalurkan keperluan biologinya, maka penulis telah mencadangkan satu alternatif yang baik untuk menghadapi kesulitan ini. Iaitu, mengahwini wanita lain secara sah, sedangkan suami berkemampuan dari segi harta dan kesihatan. Oleh itu, perkahwinan dengan isteri kedua lebih baik daripada melempiaskan kecenderungan seksualnya daripada melakukan perbuatan haram. Isteri perlulah bertolak ansur dalam masalah ini jika suaminya benar-benar memerlukan poligami.
Tabiat perbezaan kejadian. Allah s.w.t telah memberikan kekuatan dalam bidang seksual kepada seorang lelaki sehingga kadang-kadang seorang lelaki tidak merasa puas dengan hanya seorang isteri. Apalagi jika isterinya sedang haid dalam waktu yang panjang. Dalam keadaan seperti ini, untuk menyalurkan keperluan seksual dengan cara yang baik ialah suami perlu melakukan poligami. Pilihan lain selain poligami ialah melakukan perbuatan maksiat ( zina ) dan ia memberi kesan negatif sama ada dari segi agama, harta, kesihatan dan juga membahayakan isterinya.
Jumlah perempuan lebih ramai dari lelaki. Jumlah wanita bertambah ramai daripada lelaki adala disebabkan beberapa faktur di antaranya:
- Kaum wanita lebih ramai melahirkan anak perempuan
- Kaum lelaki pula lebih ramai yang mati dahulu.
- Kaum lelaki terlibat dalam peperangan
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ “
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa ( maksiat ) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat Azab seksaNya ( bagi sesiapa yang melanggar perintahNya ).” (Surah al-Maidah : 2.)
Syarat-syarat berpoligami
Sebahagian ulama berpendapat setelah meninjau ayat-ayat tentang poligami, mereka telah menetapkan bahawa menurut asalnya, perkahwinan dalam Islam sebenamya ialah monogami. Terdapat ayat yang mengandungi ugutan serta peringatan agar tidak disalah gunakan poligami itu di tempat-tempat yang tidak wajar. Ini semua bertujuan supaya tidak terjadinya kezaliman. Tetapi, poligami diperbolehkan dengan syarat ia dilakukan pada masa-masa terdesak untuk mengatasi perkara yang tidak dapat diatasi dengan jalan lain. Dengan kata lain bahawa poligami itu diperbolehkan oleh Islam dan tidak dilarang kecuali jikalau dikhuatirkan bahawa kebaikannya akan dikalahkan oleh keburukannya.
Sebagaimana hukum talaq, begitu jugalah halnya dengan poligami yang diperbolehkan kerana hendak mencari jalan keluar dari kesulitan. Islam memperbolehkan umatnya berpoligami berdasarkan nas-nas syariat serta realiti keadaan masyarakat. Ini bererti ia tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya demi untuk mencapai kesejahteraan masyarakat Islam, menjaga ketinggian budi pekerti dan nilai kepada seorang suami..
Oleh yang demikian, apabila seorang lelaki akan berpoligami, hendaklah dia memenuhi syarat-syarat sebagai berikut;
Membatasi jumlah isteri yang akan dikahwininya.
Syarat ini telah disebutkan oleh Allah SWT dengan firman-Nya;
"Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu ber-kenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat." (Surah an-Nisa : 3)
حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ أَخْبَرَنَا مَعْمَرٌ عَنِ الزُّهْرِيِّ عَنْ سَالِمٍ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ غَيْلَانَ بْنَ سَلَمَةَ الثَّقَفِيَّ أَسْلَمَ وَتَحْتَهُ عَشْرُ نِسْوَةٍ فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اخْتَرْ مِنْهُنَّ
أَرْبَعًا. (رواه أحمد)
“Telah bercerita kepada kami Ismail; telah mengkhabarkan kepada kami Ma’mar dari Az-Zuhri, dari Salim, dari bapaknya, bahwa Ghailan bin Salamah masuk Islam, dan padanya ada sepuluh orang istri, maka Nabi SAW bersabda padanya; “pilihlah empat diantara mereka”. (HR. Ahmad)
Diharamkan bagi suami mengumpulkan wanita-wanita yang masih ada tali persaudaraan menjadi isterinya.
Misalnya, berkahwin dengan kakak dan adik, ibu dan anaknya, anak saudara dengan emak saudara baik sebelah ayah mahupun ibu.
Bahawa Urnmu Habibah (isteri Rasulullah) mengusulkan agar baginda menikahi adiknya. Maka beliau menjawab; "Sesungguhnya dia tidak halal untukku." (Hadis riwayat Bukhari dan Nasa'i)
Disyaratkan pula berlaku adil,
Firman Allah SWT;
"Kemudian jika kamu bimbang tidak dapat berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu), maka (kahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kaumiliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman." (Surah an-Nisa: 3)
Para mufassirin berpendapat bahawa berlaku adil itu wajib. Adil di sini bukanlah bererti hanya adil terhadap para isteri sahaja, tetapi mengandungi erti berlaku adil secara mutlak. Oleh kerana itu seorang suami hendaklah berlaku adil sebagai berikut:
Berlaku adil terhadap dirinya sendiri.
Menyakini bahawa diri sendiri boleh berlaku adil terhadap isteri-isteri dan anak anak serta mampu menyara dan mengurus kehidupan mereka dengan cara yang terbaik sesuai dengan syariah.
Adil di antara para isteri.
Setiap isteri berhak mendapatkan hak masing-masing dari suaminya, berupa kemesraan hubungan jiwa, nafkah berupa makanan, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain perkara yang diwajibkan Allah kepada setiap suami.
Adil di antara isteri-isteri ini hukumnya wajib, berdasarkan firman Allah dalam Surah an-Nisak ayat 3 dan juga sunnah Rasul. Rasulullah (s.a.w.) bersabda, maksudnya;
مَنْ كَانَ لَهُ زَوْجَتَانِ فَمَالَ إِلَى أَحَدِهِمَا فِيْ الْقِسْمِ جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَ أَحَدُ شَاقَيْهِ مَائِلاً
"Barangsiapa yang mempunyai dua isteri, lalu dia cenderung kepada salah seorang di antaranya dan tidak berlaku adil antara mereka berdua, maka kelak di hari kiamat dia akan datang dengan keadaan pinggangnya miring hampir jatuh sebelah." (Hadis riwayat Ahmad bin Hanbal)
Firman Allah s.w.t :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَحِلُّ لَكُمْ أَنْ تَرِثُوا النِّسَاءَ كَرْهًا وَلَا تَعْضُلُوهُنَّ لِتَذْهَبُوا بِبَعْضِ مَا آتَيْتُمُوهُنَّ إِلَّا أَنْ يَأْتِينَ بِفَاحِشَةٍ مُبَيِّنَةٍ وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ فَإِنْ كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا “
“Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka ( dengan menahan dan menyusahkan mereka ) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali ( apabila ) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaulah kamu dengan mereka ( isteri-isteri kamu itu ) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu ( merasai ) benci kepada mereka ( disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya ), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak ( untuk kamu ).” (Surah an-Nisa’ : 19)
Adil memberikan nafkah zahir ( makan minum, pakaian, tempat tinggal termasuk alat solek, pengangkutan, kesihatan, pendidikan dan lain-lain keperluan) dan nafkah batin
Dalam soal adil memberikan nafkah ini, hendaklah si suami tidak mengurangi nafkah dari salah seorang isterinya dengan alasan bahawa si isteri itu kaya atau ada sumber kewangannya, kecuali sekiranya isteri itu redha. Suami memang boleh menganjurkan isterinya untuk membantu dalam soal nafkah tetapi tanpa paksaan. Memberi nafkah yang lebih kepada seorang isteri dari yang lain-lainnya diperbolehkan dengan sebab-sebab tertentu. Misalnya, si isteri tersebut sakit dan memerlukan kos rawatan sebagai tambahan.
Prinsip adil ini tidak ada perbezaannya antara gadis dan janda, isteri lama atau isteri baru, isteri yang masih muda atau yang sudah tua, yang cantik atau yang tidak cantik, yang berpendidikan tinggi atau yang buta huruf, kaya atau miskin, yang sakit atau yang sihat, yang mandul atau yang dapat melahirkan. Kesemuanya mempunyai hak yang sama sebagai isteri.Selanjutnya, para ulama telah sepakat mengatakan bahawa suami bertanggungjawab menyediakan tempat tinggal yang tersendiri untuk tiap-tiap isteri berserta anak-anaknya sesuai dengan kemampuan suami. Ini dilakukan semata-mata untuk menjaga kesejahteraan isteri-isteri, jangan sampai timbul rasa cemburu atau pertengkaran yang tidak diingini.
Kesimpulan dari maksud kemampuan secara zahir ialah;
i) Mampu memberi nafkah asas seperti pakaian dan makan minum.
ii) Mampu menyediakan tempat tinggal yang wajar.
iii) Mampu menyediakan kemudahan asas yang wajar seperti pendidikan dan sebagainya.
iv) Sihat tubuh badannya dan tidak berpenyakit yang boleh menyebabkan ia gagal memenuhi tuntutan nafkah zahir yang lain.
v) Mempunyai kemampuan dan keinginan seksual.
Adil dalam giliran.
Demikian juga, isteri berhak mendapat giliran suaminya menginap di rumahnya sama lamanya dengan waktu menginap di rumah isteri-isteri yang lain. Sekurang-kurangnya si suami mesti menginap di rumah seorang isteri satu hari satu malam atau 2 hari 2 malam atau 3 hari 3 malam. Begitu juga pada isteri-isteri yang lain. Walaupun ada di antara mereka yang dalam keadaan haid, nifas atau sakit, suami wajib adil dalam soal ini. Sebab, tujuan perkahwinan dalam Islam bukanlah semata-mata untuk mengadakan 'hubungan seks' dengan isteri pada malam giliran itu, tetapi bermaksud untuk menyempurnakan kemesraan, kasih sayang dan kerukunan antara suami isteri itu sendiri.
Keadilan Dalam Kasih Sayang
Allah kurniakan satu hati kepada seseorang manusia baik lelaki mahu pun perempuan. Namun hati seorang lelaki amat unik kerana dia mampu memberikan kasih sayangnya kepada empat orang isteri. Malah dia mampu memberikan 100 peratus kasih sayang kepada semua isterinya sekiranya dia mahu. Walau bagaimanapun rasa kasih dan sayang itu bukan milik kita, sebaliknya ia adalah milik Allah.
وَلَنْ تَسْتَطِيعُوا أَنْ تَعْدِلُوا بَيْنَ النِّسَاءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ فَلاَ تَمِيلُوا كُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَالْمُعَلَّقَةِ
“Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri- isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan)”
Dalam hal ini Rasulullah SAW sendiri berdoa seperti yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah, maksudnya: “Daripada ‘Aisyah bahawasanya Nabi SAW membahagikan antara isteri-isterinya maka dia boleh mengadili dengan baik. Namun dalam soal kasih sayang dia berdoa:
اللَّهُمَّ هَذَا قَسْمِي فِيمَا أَمْلِكُ فَلاَ تَلُمْنِي فِيمَا تَمْلِكُ وَلاَ أَمْلِكُ"
“Ya Allah inilah pembahagianku mengikut apa yang aku miliki, maka janganlah Kamu mencelaku pada perkara yang Kamu miliki sedangkan aku tidak miliki.” (Riwayat al-Tarmizi)
Perlindungan, pemeliharaan serta kasih sayang yang adil terhadap anak-anak.
Oleh itu, disyaratkan agar setiap suami yang berpoligami tidak membeza-bezakan antara anak-anaknya. Berlaku adil dalam soal nafkah anak-anak mestilah diperhatikan bahawa nafkah anak yang masih kecil berbeza dengan anak yang sudah besar. Anak-anak perempuan berbeza pula dengan anak-anak lelaki. Tidak kira dari ibu yang mana, kesemuanya mereka berhak memiliki kasih sayang serta perhatian yang saksama dari bapa mereka.
Keadilan juga sangat dituntut oleh Islam agar dengan demikian si suami terpelihara dari sikap curang yang dapat merosakkan rumahtangganya. Seterusnya, diharapkan pula dapat memelihara dari terjadinya cerai-berai di antara anak-anak serta menghindarkan rasa dendam di antara sesama isteri.
Tidak menimbulkan huru-hara atau masalah (dharar syarie) di kalangan isteri mahupun anak-anak.
Perkahwinannya yang baru, hendaklah tidak akan menjejaskan serta merosakkan kehidupan isteri serta anak-anaknya yang sediaada. Diharuskan berpoligami dalam Islam adalah untuk menjaga kepentingan semua pihak. Oleh yang demikian jika kepentingan ini tidak dapat dijaga dengan baik, maka seseorang yang berpoligami pada saat itu adalah berdosa.
Berkuasa menanggung nafkah.
Yang dimaksudkan dengan nafkah di sini ialah nafkah zahir, sebagaimana Rasulullah (s.a.w.) bersabda yang bermaksud;
"Wahai sekalian pemuda, sesiapa di antara kamu yang berkuasa mengeluarkan nafkah, maka hendaklah kamu berkahwin, kerana perkahwinan itu akan dapat memelihara mata dan kehormatannya Dan sesiapa yang tidak berkuasa, hendaklah berpuasa, sesungguhnya puasa itu adalah merupakan perisai."
Rasulullah (s.a.w.) menyuruh setiap kaum lelaki supaya berkahwin tetapi dengan syarat sanggup mengeluarkan nafkah kepada isterinya. Bagi mereka yang tidak berkemampuan, maka tidak digalakkan berkahwin sekalipun dia seorang yang sihat zahir batinnya. Maka dia digalakkan berpuasa untuk menahan keinginan seksnya Jika nafkah seorang isteri pun sudah tidak mampu, sudah tentulah Islam melarang orang yang demikian itu berpoligami. Memberi nafkah kepada isteri hukumnya adalah wajib sebaik sahaja berlakunya suatu perkahwinan dan ketika suami telah memilikinya secara mutlak. Begitu juga isteri wajib mentaati suaminya serta memberikan perkhidmatan yang diperlukan dalam pergaulan sehari-hari.
Pembahagian giliran malam
Al-Qasmu dari sudut bahasa membawa erti habuan. Menurut istilah syarak bermaksud lelaki yang mempunyai lebih daripada seorang isteri. Jika dia bermalam di rumah salah seorang dari isterinya, maka dia mesti bermalam di rumah isteri-isterinya yang lain.
Hukum bermalam adalah sunat bukan wajib. Suami sunat membahagikan malam serta tidur bersama dan tidak meninggaknnya. Jika dia bermalam dengan salah seorang dari isterinya maka dia wajib bermalam dengan semua isterinya. Jika suami menggunakan lebih malam bersama salah seorang isterinya maka dia wajib mengqada’ dengan isterinya yang lain. Maka sekurang-kurang giliran sehari semalam atau dua hari dua malam atau tiga hari tiga malam.Maka haram jika lebih daripada itu. Sehari semalam adalah dikira malam dan siangnya atau siang dan malamnya. Haram hukumnya jika suami hanya memberi malam sahaja kepada salah seorang dari isterinya sedangkan siangnya diberi kepada isterinya yang lain. Ini kerana malam dan siang mempunyai perbezaan dan sekurang-kurang giliran ialah sehari semalam dengan makna siang dan malamnya.
Jika suami menikahi ieteri baru maka dia wajib bermalam tujuh hari dan malamnya secara berturut-turut jika anak dara dan tiga hari dan malamnya berturut-turut jika janda. Kemudian barulah mengilirkan semula secara samarata. Suami wajib melaksanakan giliran sekalipun isteri haid atau nifas kecuali isteri nusuz, maka hilang hak giliran.Jika suami tinggal seorang diri, dia diharuskan memanggil semua isterinya datang menemuinya.
Hak-hak isteri
Di antara hak setiap isteri dalam poligami adalah sebagai berikut:
Memiliki rumah sendiri.
Setiap isteri mempunyai hak untuk memiliki rumah sendiri. Allah S.W.T berfirman dalam surat Al Ahzab ayat 33:
“Menetaplah kamu sekalian (wahai isteri-isteri Nabi) di rumah-rumah kamu.”
Dalam ayat di atas, disebut perkataan ‘rumah’ dalam bentuk kata jamak yang menunjukkan makna banyak. Oleh yang demikian maka dapat dipahami bahwa rumah baginda nabi s.a.w adalah banyak iaitu bagi setiap isteri mempunyai kediamannya sendiri.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Aisyah r.aha menceritakan bahwa ketika Nabi s.a.w sakit hampir kewafatannya, baginda s.a.w bertanya, “Dimana aku besok? di rumah siapa?’ Baginda menginginkan berada di rumah isterinya Saidatina Aisyah. Maka akhirnya isteri-isteri baginda yang lain sepakat bersetuju mengizinkan baginda untuk dirawat di rumah Aisyah. Baginda wafat di sisi Aisyah dalam keadaan kepala baginda bersandar di dada Aisyah r.anha.
Menyamakan giliran.
Setiap isteri harus mendapat hak giliran yang sama. Hak giliran adalah hak yang mesti dilaksanakan secara sama rata. Maka sekurang-kurang giliran adalah sehari semalam atau dua hari dua malam atau tiga hari tiga malam dan tidak melebihi tiga hari tiga malam.
Dalam Islam, suami diharamkan mengumpul isteri-isterinya dalam sebuah rumah, melainkan dengan kerelaan isteri-isteri itu sendiri. Walau bagaimanapun, adalah tidak digalakkan mengumpulkan isteri-isteri dalam sebuah rumah bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Ibnu Qudamah menjelaskan dalam kitab Al Mughni bahwasanya tidak harus bagi seorang suami mengumpulkan dua orang isteri dalam satu rumah tanpa keredhaan dari keduanya. Hal ini dikhuatiri dapat menjadikan penyebab kecemburuan dan permusuhan di antara keduanya. Pendapat ini juga disokong oleh al-Qurtubi dan Imam Nawawi sebagaimana dalam al-Muhadzab. Rasulullah SAW sendiri tidak pernah mengumpulkan isteri-isteri baginda dalam satu rumah.
Giliran bermalam antara isteri-isteri (al-Qasmu) adalah sunat, bukan wajib. Bagi lelaki yang mempunyai ramai isteri, dia disunatkan membahagi-bahagikan malam dan bermalam bersama isteri-isterinya. Bermalam adalah hak suami, dan dia boleh meninggalkannya ( bermalam). Tetapi jika suami bermalam dengan membuat undian, maka giliran tersebut menjadi wajib untuknya bermalam di rumah isterinya yang lain. Keadilan antara isteri-isteri ini disebutkan dengan jelas dalam firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa' ayat 3 yang bermaksud:
"Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu dalam masalah bermalam dan nafkah), maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki."
Memberi keadilan kepada isteri-isteri adalah satu tugas yang amat sukar dan berat. Baginda Rasulullah s.a.w telah memberi peringatan kepada suami-suami yang berpoligami:
"Sesiapa yang mempunyai dua orang isteri dan dia cenderung kepada salah seorang daripadanya, pada hari kiamat dia akan datang dengan sebahagian badannya senget." (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)
Islam telah menggariskan cara-cara pembahagian dilakukan seperti berikut : Semua isteri berhak mendapat giliran untuk bermalam, melainkan isteri yang nusyuz atau derhaka. Suami diharuskan memperuntukkan satu malam dan sehari sebelumnya atau sehari selepasnya bagi setiap isteri. Yang paling afdal ialah suami pergi ke rumah setiap isterinya berdasarkan giliran masing-masing. Jika suami telah menentukan sehari semalam bersama seorang isteri, suami wajib juga berada bersama isterinya yang lain selama sehari semalam.
SUMBER DARI :-
Ustaz Khairuddin Bin Haiyon
Penolong Pengarah Unit Penerangan & Penerbitan
Bahagian Dakwah JAIS
Penolong Pengarah Unit Penerangan & Penerbitan
Bahagian Dakwah JAIS